Saturday, September 17, 2011

Syawal Rasulullah SAW

Alhamdulillah jemaah wanita pada subuh hari ini lebih ramai sedikit berbanding solat Maghrib dan Isyak malam tadi. Dari seorang menjadi lima. Tak mengapalah. Mereka semua seorang isteri yang dimiliki lelaki-lelaki yang menjadi jemaah tetap surau Taman Sandaran Permai. Menunggu kepulangan suami dari masjid merupakan pahala yang sebanding dengan bersolat jemaah di masjid juga. Ibu-ibu ini telah mendapat bahagian mereka, dan aku menumpang bahagia mendengar cerita-cerita dari pengalaman rumahtangga mereka. Walaupun aku muda bertahun-tahun berbanding mereka, tapi mereka tidak pun menganggap aku terlalu muda untuk diperturunkan rahsia mendidik anak-anak sehingga ada yang menjadi hafiz muda. Subhanallah, benar seperti ulasan Ustaz Dr Shahbudin pagi ini. Salah satu nikmat dan kebaikan dari ukhuwah yang terjaga ialah dilapangkan hati. Insya Allah, hablum minannas akan tetap menjadi keutamaanku walaupun aku sendiri masih merasakan sakitnya mengagumi seseorang yang tidak pun memandang aku. Namun Allah menuntut hambanya agar tidak berprasangka kerana prasangka itu meruntuhkan silaturrahim. Aku terima itu bahagianku. Tetapi dalam diam, aku merasakan dia sudah ada surinya. Kalaupun bukan isteri, dia ada seorang lagi teman maya yang dilayan sepertiku. Maka aku perlu meletakkan jarak sejauh-jauhnya dalam persahabatan ini. Persahabatan itu hanya nama pinjaman sedang aku sendiri tidak tahu perlu menamakan apa.

Rasanya aku sudah tidak mampu berahsia. Apatah lagi untuk bersendirian seperti selalunya. Aku memerlukan orang lain, bukan untuk mengambil alih tempat Allah selaku Pemilik hambaNya ini. Orang lain itu sekadar sandaran untuk aku tumpahkan khidmat. Mengukir seleret senyuman juga sudah dikira khidmat.Moga-moga khidmat ini kerana Allah. Ibarat seorang anak yang mahukan perhatian ibu bapanya, maka wajar si anak itu berkhidmat untuk keduanya sebaik-baiknya. Khidmat ini bukan bererti Allah memerlukan pertolongan hamba-hambaNya, bahkan hamba-hamba inilah yang amat memerlukan pertolongan Allah. Orang lain ini pula bukan juga tempat aku berkongsi rahsia. Bagiku, sudah cukup Allah yang mengetahui. Aku hanya memerlukan insan lain dalam hidupku hanya kerana Allah sendiri menegaskan keutamaan menjaga hubungan sesama manusia.

Ustaz Dr Shahbudin berkongsi iktibar dari kebiasaan sosok agung Rasulullah SAW saat baginda melangkah ke bulan Syawal. Pertama-tama yang dilakukan usai solat sunat Idulfitri, baginda akan pulang ke rumah dan mengambil Aishah isterinya untuk dibawa berziarah ke rumah Abu Bakr. Itu sesuatu yang tidak baginda lakukan di waktu-waktu lain. Sehingga Abu Bakar terkejut dan berkata "wahai Rasulullah, kenapa engkau yang datang ke mari, sedangkan akulah yang perlu berziarah ke rumahmu sempenan hari raya ini." Rasulullah dengan rendah hati menjawab, "ya Abu Bakr, pada hari raya ini janganlah engkau menganggapku seorang Nabi. Sebaliknya anggaplah aku sebagai menantumu. Maka menjadi kewajipanku untuk menziarahi kerabatku." Dari rumah Abu Bakr, baginda berziarah ke rumah Umar al-Khattab pula. Umar juga adalah mertua Rasulullah setelah baginda bernikah dengan Hafsah bt Umar. Dari rumah Umar, barulah baginda kembali ke rumah sendiri untuk menerima kunjungan daripada para sahabat.

Begitu rasulullah SAW mengajar umatnya keutamaan untuk diikuti sempena hari raya fitrah ini. Mengikut keutamaan ziarah, yang pertama mesti ditemui adalah kerabat. Seterusnya adalah sahabat yang rapat, kemudian jiran-jiran yang dekat. Tidak dilupakan yang perlu masuk senarai kita adalah saudara sama ada keluarga atau bukan yang retak hubungannya dengan kita. Inilah masanya kita membuang yang keruh, diganti dengan yang jernih. Tidak mengira sekalipun kita di pihak yang benar, apatah lagi jika kita sebenarnya yang salah.

Pulang dari Taman Syurga pagi itu, aku bersendiri lagi. Sesekali tersenyum sendiri mengingatkan usikan makcik Fariza tadi. Bertuah suaminya. Dia isteri yang sentiasa ceria. Aura kebaikannya memang selalu aku rasakan setiap kali dia muncul di depan mata. Sering hatiku berbunga-bunga apabila melihatnya. Lebih menyenangkan bila dia sering memilih untuk bersolat berhampiranku walaupun banyak ruang kosong yang lain. Sama ada dia mendekatiku, atau aku ditarik ke sebelahnya. Indah kerana kebaikan ini bukan kerana dia ada anak lelaki untuk diganding denganku. Lebih terasa tulusnya. Hari-hariku hanya dipenuhi tugasan dan keinginan untuk segera menamatkan pengajian dan memulakan tugas dan rutin yang baru. Kesibukan pastinya membuat aku lupa akan sebarang duka. Dari dulu sehingga kini hanya tugasan yang menjadi keutamaan. Walau sering terleka dan sesekali melayan perasaan, diakhirnya aku pasti terluka lagi. Seterusnya kembali bertumpu kepada satu kehidupan yang dipenuhi tugasan dan tugasan.(^__^)

No comments:

Post a Comment