Saturday, August 27, 2011

Sekali Lagi

Bertahun-tahun, bukan berhari-hari hubungan terjalin. Dari sapaan pertama sehingga yang terakhirnya, penuh bunga-bunga sayang. Dalam riang dan duka, berhias kata-kata menyatakan luka dan kecewa, bahkan disaat-saat jari menyatakan ini noktahnya, namun hati kecil berkata ini salah. Jauh di sudut hati merasa tidak mungkin begini sudahnya.

Lelaki tidak memahami, perempuan lekas membenci. Tetapi dalam benci itu ada sayang. Dalam marahnya ada kasih. Dalam lukanya berharap dia tidak membenarkan hasrat hati wanita itu menoktahkan suatu pertemuan. Buktinya bukan satu, malah beribu. Seribu kali titik ditanda, seribu satu kali permulaan baru mengikuti. Malangnya lelaki itu tidak memahami. Pinta si wanita hanya satu, jangan diam tanpa berita, melainkan sudah ternyata dia tidak perlu ada. Pintanya itu bukan kerana mementingkan diri.
Dia kerisauan walaupun dia berserah kepada Pemiliknya. Dia hanya manusia yang biasa-biasa sahaja. Ada risau menerpa hari-hari, tapi hatinya merayu pada diri jangan lupa dengan zikir dan tasbih. Moga-moga lelaki itu dijauhi duka dan luka. Biar selamat semuanya. Permintaannya itu bukan susah dilaksanakan. Wanita itu tidak meminta harta sepenuh alam. Sekadar berita menyatakan "aku bahagia di sini". Apapun alasan, wanita itu bersedia menerimanya. Tetapi lelaki tetap berkata alasan itu sudah tidak berguna lagi. Entah apa alasannya, wanita itu perlu yakin semuanya kehendak dan ketentuan Yang Satu. Namun wanita itu bukan Tuhan. Andai tidak diucap, mana mungkin dia membaca semuanya dalam fikiranmu?
Wanitaku, lelaki ini diam kerana dia punya keperluan sendiri. Biarkan dia dengan apa yang dirasakan baik baginya. Kamu, wanita, sewajarnya cuba memahami setiap langkah yang dipilih adalah untuk kebaikannya. Apalagi yang wanita itu mahu lelaki ini katakan, bila noktah sudah ditandakan? Kamu wanita tiada penting baginya. Adamu kadang-kala mengundang senyum. Namun banyak waktunya wanita hanya mendatangkan sakit hati yang panjang. Bisa kata-katamu mana mungkin lelaki itu mampu menelannya lagi. Meskipun dalam hati bersisa setitik sayang, namun setitik cuma itu pasti akan dihakis hilang jua nanti. Lelaki bukan sepertimu, wanita. Bertahanlah dengan apa yang dipegang. Lelaki ini pasti melangkah juga meneruskan pencarian yang lebih bermakna. Walaupun mungkin, jauh di suatu sudut paling dalam di hati ini, jauh sedalam tiada yang dapat mencapainya..... mungkin, hanya mungkin, lelaki masih mengasihimu wanita. Hanya mungkin, aku juga tidak pasti. Kemungkinan yang ada kemungkinannya lelaki tidak mahu wanita itu ada lagi.


Keputusan telah diambil, walau mungkin tanpa sepakat. Aku wanita hanya mampu untuk akur, walau mungkin aku yang memulakan. Aku tidak bahagia saat melepaskanmu pergi. Aku tidak gembira apabila mengingatkan hari depanmu bersama dia yang lain. Aku tidak ceria bila dirimu tidak menyapa. Tapi apa lagi boleh dikata, harus sedar di mana tempatku. Bukan di sisimu lelaki budiman. Aku hanya tempat bertandang sekali-sekala.

Maafkan aku, wahai wanita. Aku lelaki yang mahukan lebih dari apa yang ada padamu. Dari awal telah kukatakan, tidak mungkin. Walaupun di pertengahannya ada bibit sayang, tapi bukan maksudku memberimu harapan. Aku perlukan yang terbaik, lebih baik dari yang kau ada. Pergilah, cari bahagiamu. Walau aku yakin benar kasihmu hanya untukku, namun, pergilah. Izinkan aku melepaskan lelah selama tiga tahun berteman denganmu. Aku lelah melalui hari-hari adanya kamu. Mungkin aku pernah sayangkanmu. Itu kesilapanku yang paling besar, dan kini aku hanya mampu mengucapkan maaf. Andai masih ada sebesar zarah belas ihsanmu untukku, maafkanlah aku.

Dariku, untukmu, lelaki. Bukan ucapan maaf yang mahu kusampaikan. Aku tidak perlukanmu memaafkan aku. Apa perlunya sebuah kemaafan untuk sesuatu yang sudah berakhir? Aku punya sesuatu yang lebih bermakna untukmu. Terimalah ucapan terima kasihku, sekadar yang ada. Terima kasih kerana sudi menyatakan sayang untukku. Terima kasih kerana pernah ada untukku. Terima kasih kerana menunjukkan aku, mana-mana lelaki pun tidak mungkin akan dapat menyenangkan hatiku selagi aku jauh dari Pemilikku. Terima kasih kerana mengajarku "ketulusan tidak mungkin wujud dalam mana-mana hubungan". Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Terimalah kasihku, kerana aku tidak mungkin dapat memberinya kepada yang lain. Aku sudah kekurangan ikhlas untuk membiarkan hati terisi lagi. Sampai waktunya akan kubiar ia kosong. Alang-alang sudah terguris hati orang tuaku. Aku teruskan langkah mengikut kepalaku sendiri.



kisah mereka, LELAKI & WANITA.


Aaaahh....aku suka yang ini, "apa yg buat saya dapat mempertahankan 'hubungan' ini selama hampir 3 tahun?
bukan sekali dua.... berlaku begini"

Ada jawapan dalam benakku. Tapi tak mungkin dapat kuluah..... kecuali di sini...
Selain 'ketentuan' Ilahi... bagiku, itulah jodoh. Bukan suka-suka ia bertahan, tambah pula dalam ribut dan badai. Subhanallah, ALLAH Maha Pencipta. Dialah Pemelihara... bukan aku atau kamu.

Yang bermula pasti ada akhirnya, hanya apabila kita mahukan ia demikian. Perjalanan ini suatu ketentuan, yang dihujungnya adalah takdir. Sama ada masih dalam perjalanan, atau sudah bertemu takdir, sentuh hatimu dan rasai denyutnya. Ketenangan bererti benar. Andai sebaliknya......kita pasti mengetahui. Wallahualam.

(Dan aku masih mahu meneruskan perjalanan ini walau bersendirian, biar akhirnya kutemui di sisi Allah nanti.....)

No comments:

Post a Comment