Wednesday, August 17, 2011

Tadbir Kita, Takdir ALLAH

"Jangan bimbang jika diri tidak dihargai
tetapi bimbanglah jika benar-benar diri tidak berharga" -PMJ


Walaupun hak mentadbir itu milik kita, ia tetap dengan keizinan ALLAH. Apatah lagi takdir itu sepenuhnya hak ALLAH.

Semakin didekati semakin pula ia menjauhi. Bagaimanapun, ada ketika dan waktunya kita menjauhi, ia mendekat dengan sendiri. Tapi ALLAH Maha Berkuasa yang menentukan segalanya. PerancanganNya melebihi perancangan manusia. Bila ditanya, salahnya aku ini apa? Jawabnya, dosa-dosamu, kelalaianmu, alpamu yang mendatangkan 'musibah' ini.

Dia berkuasa membuka pintu hati hamba-hambaNya untuk orang tertentu. Dia juga yang berkuasa menutup pintu hati untuk hamba yang lain. Yang kita suka, belum tentu senang dengan kita. Malah yang menyenangi kita belum tentu yang diterima hati kita. Sulit. Dengan itu ramai yang memilih untuk tidak terlalu berfikir akan halnya. Dan aku sendiri tekad memilih untuk tidak berharap pada yang tiada, tidak memaksa pada yang tidak sudi, dan mengelak dari memberi harapan kepada yang lain. Bimbang, dia turut merasai pedihnya apabila merasa harapan yang diberi sebenarnya tidak berpenghujung.

Setiap yang bermula ada akhirnya. Sama ada berakhir bahagia atau duka, kita yang memilihnya. Walaupun benar bahagia atau duka adalah ketetapan ALLAH, tapi kita sebagai hamba yang mampu berfikir rasional, dengan izin ALLAH seharusnya berupaya menukar duka kepada bahagia. Semuanya dalam fikiran. Apa dikenang pada yang tiada, hanya menyusahkan hati sendiri. Dan hati yang susah dan tidak tenang itu lebih terganggu ibadatnya. Jangan relakan susah hati menguasai ketenangan minda. Jangan benarkan kecelaruan merampas kesempatan kita mencari cinta yang lebih Agung di dunia. Yang bermula, ada akhirnya. Bahagia atau duka, kita yang memilihnya. Dan aku, memilih untuk berakhir di sini. Memilih untuk berakhir bukan bererti tiada ruang baginya lagi, tetapi biarlah ruang itu terus kosong, untuk diisi dengan pilihan ALLAH nanti. Dia atau yang lain, ALLAH lebih mengetahui. Cintaku untuk ALLAH melebihi segalanya, meskipun kini aku bukan sesiapa, tetapi aku mampu terus mencari redhaMU walaupun bersendirian. Tidak perlu aku kepada sesiapa untuk memiliki cintaMU. Kebergantungan kepada manusia hanya akan melumpuhkan aku. Sekiranya nanti aku bergelar isteri, tetap aku berdiri sendiri mencari redhaMU, dan aku sebagai sayap kirinya yang memberi kekuatan baginya mencari kasihMU, bukan aku sebagai hijab antara dia dan Kekasih Agungnya.

Aku yakin dan pasti, di depanku terbentang jalan berduri. Pasti tiba di persimpangan. Salah memilih akan membawa aku kepada azabNya. Dalam perjalanan melalui duri dan ranjau, aku pasti terluka entah untuk berapa lama lagi. Aku pasti terjatuh lagi. Namun teruslah Engkau memeliharaku dari kesesatan yang tiada U-turn. Ubati lukaku dengan seruanMU untuk kembali kepadaMU. Seperti yang Engkau selalu tunjukkan buatku. Kau biarkan aku bertatih, dan terjatuh, namun tidak pernah sekali Kau biarkan aku tenggelam dalam lautan nikmat. Kau sedarkan aku nikmat itu hanya sementara.

Buat hambaMU yang mengasihiMU.

Ada hati lain yang menyenanginya, dan aku memahami hasrat hatinya. Nisa' yang mencintaiMU pasti menginginkan yang terbaik untuk dirinya dan agamanya. Dan hati itu menyatakan hasratnya padaku. Bahawa engkaulah yang telah mencuri hatinya. Aku menyayanginya kerana ALLAH. Dia sahabatku yang sama-sama denganku mencari redha Ilahi. Bila dia senang padamu, aku hanya mampu tersenyum. Iya, pilihannya tepat. Dia tidak tersalah. Tetapi aku hanya mampu mendoakan yang terbaik buat dirinya. Apa lagi yang mampu kuucap, selain kata-kata...semoga dia juga senang kepadamu.

Kepada ALLAH aku bermohon agar doanya dimakbulkan. Kau juga yang kata, doakan sahabatmu ketika dia tidak mengetahuinya. Dan doa seperti itu akan kembali kepada kita. Kuharap sahabatku mendapat bahagia yang diimpinya. Meskipun itu bererti duka bagiku. ALLAH Maha Mengetahui. Biarpun terluka, tetapi bukankah hati yang sebegitu lebih lunak dan mudah mencintai Ilahi?

Bahagiamu adalah impianku. Semoga ALLAH merahmati setiap karakter dalam kisah hidupku.

Sekadar berkongsi vaksin yang memberi kekuatan padaku,

Firman ALLAH, "Barangsiapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik (hayatan tayyibah) dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (An-Nahl: 97)

No comments:

Post a Comment